i@UTeM
UTeM Mail
Friday, 06 August 2021

Universiti Teknikal malaysia Melaka (UTeM) telah mencatatkan pendaftaran seramai 482 orang pelajar baharu bagi mengikuti pengajian peringkat diploma pengambilan sesi 2021/2022 semalam secara dalam talian.
 
Berikutan musim pandemik ini maka proses pendaftaran masuk pelajar baharu ini dilaksanakan menerusi sistem dengan mengaktifkan pelajar secara dalam talian bermula 2 Ogos semalam.
 
Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UTeM, Profesor Dr Zulkifilie Ibrahim berkata, UTeM terus menjadi pilihan bagi para pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi menyambung pengajian di peringkat diploma dalam jurusan kejuruteraan dan teknologi maklumat.
 
Jelas beliau, seramai 482 orang pelajar ini mendaftar bagi 5 kursus yang ditawarkan UTeM iaitu Diploma Kejuruteraan Elektrik, Diploma Kejuruteraan Elektronik, Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Diploma Kejuruteraan Pembuatan dan Diploma Teknologi Maklumat.
 
“Bidang diploma kejuruteraan dan teknologi maklumat terus diminati ramai lepasan SPM kerana pengajian kejuruteraan ini terus relevan dan berkebolehpasaran tinggi selepas bergraduat dan turut mudah untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana muda kelak,” ujar beliau lagi.
 
Mengulas lanjut beliau menyatakan pelajar baharu ini mengikuti sesi perkuliahan Semester Khas Sesi 2021/2022 bermula 3 Ogos secara dalam talian dengan mengambil kursus wajib universiti yang dikendalikan oleh Pusat Pembelajaran Bahasa (PPB) dan Institut Pengurusan Teknologi dan Keusahawanan (IPTK) UTeM.
 
Timbalan Pendaftar Kanan Bahagian Pengurusan Akademik (BPA), Pejabat Pendaftar, UTeM Misdom Lan berkata, kursus-kursus yang ditawarkan di UTeM terus mendapat sambutan baik dan menunjukkan tren UTeM terus menjadi pilihan lepasan SPM menyambung pengajian di peringkat diploma pada setiap tahun.
 
Katanya, kursus Diploma Teknologi Maklumat, Diploma Kejuruteraan Pembuatan dan Diploma kejuruteraan Mekanikal terus mendapat permohonan paling pantas seawal
permohonan dibuka di samping permohonan bagi Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Diploma Kejuruteraan Elektronik turut memberangsangkan.
 
Berhubung keputusan rayuan kemasukan pula, Misdom menyatakan merujuk kepada maklumat yang beliau terima hebahan keputusan rayuan dijangka akan dikeluarkan oleh Unit Pusat Universiti (UPU) pada pertengahan Ogos nanti (tertakhluk kepada maklumat semasa).

Rangkaian produk penyelidikan berinovasi tinggi Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus menyerlah dengan merangkul 14 pingat di Innovation and Invention Competition Through Exhibition (iCompEx 2021) secara dalam talian.
 
iCompEX 2021 telah berlangsung pada 14 Mei hingga 27 Julai 2021 menjadi medan ukuran pengiktirafan rangkaian produk inovasi bertaraf dunia yang dihasilkan oleh barisan penyelidik dari seluruh Institusi Pengajian Tinggi dalam negara.
 
Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, kejayaan kumpulan penyelidik UTeM dengan merangkul 14 pingat dilihat terus menyemarakkan budaya penyelidikan dan inovasi berimpak untuk kemaslahatan komuniti sejagat.
 
Jelasnya, ianya adalah selari dengan budaya di UTeM yang mana berteraskan acuan penzahiran konsep TUNAI iaitu Technology at University Advancing Industry and Community.
 
“Selari itu maka kian jelas keberadaan dan sumbangan UTeM memberikan sumbangan langsung kepada masyarakat serta komuniti dunia selaras dengan aspirasi nasional yang dihasratkan kepada universiti tempatan,” ujar beliau dalam kenyataan yang diberikan baru-baru ini.
 
iCompEX 2021 menyaksikan UTeM telah berjaya menggondol 14 pingat secara keseluruhan yang terdiri daripada 5 pingat emas, 7 pingat perak dan 2 pingat gangsa.
 
Pingat emas telah diungguli menerusi produk inovasi V4Fisio diketuai Profesor Madya Dr Mariam Md Ghazaly dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) dan Smart Smoke Level Detection for Rubber Strain Gauge With Ambient Monitoring diketuai Ts Dr Adam Wong Yoon Khang dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE).
 
Sanitizer Wheelchair Excellent Device (SWED) 2020 diketuai Ruzy Haryati Hambali dari Fakulti Kejurteraan Pembuatan (FKP) dan Environmentally Friendly Inhibitor-Zingiber Officinale Extraction diketuai Dr Mohd Fauzi Mamat dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FTKMP).
 
Manakala Intelligent Oil Palm Fruits Segregator diketuai Ts Dr Faiz Arith dari Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (FKEKK).
 
Tujuh pingat perak pula telah dimenangi menerusi produk inovasi Incorporating Cuscn and Cui As Hole Transporting Layer for Solar Cell Applications, Foot Operated Door Knob dan IOT Based Indoor Air Quality Monitoring System.
 
Multi-language Smart Book Reader for Visual Impairment Person, AMI3L-Aplikasi Membaca Interaktif: Lihat, Latih dan Lancar, Automatic Compose Bin dan Ergonomic Specimen Grinder and Polisher.
 
Sementara itu 2 pingat gangsa yang telah dimenangi UTeM pula adalah menerusi produk 3D Printed Denture dan E-Repository.
 
iCompEX 2021 yang dijalankan secara dalam talian itu merupakan anjuran Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Beriltizamkan dengan semangat dan jiwa seorang pendidik maka tidak menjadi halangan kepada seorang pensyarah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berkongsi ilmu bersama kanak-kanak di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC), Pusat Dagangan Antarabangsa (MITC), Ayer Keroh Melaka, baru-baru ini.
 
Beliau yang juga merupakan salah seorang yang telah dikesan positif COVID 19 lalu telah ditempatkan di PKRC, MITC Ayer Keroh dari 8 hingga 12 Julai lalu bagi mendapatkan rawatan susulan di situ.
 
Prof Madya Ts Dr Zuraida Abal Abas berkata, walaupun berada dalam tempoh rawatan di situ namun beliau menggunakan ruang dan peluang yang ada dengan berkongsi ilmu bersama dengan pesakit dalam kalangan kanak-kanak yang turut di kuarantin di situ.
 
Jelasnya, usaha ini adalah sebahagian daripada inisiatif beliau untuk memastikan kumpulan kanak-kanak tersebut tidak ketinggalan pelajaran yang mana mereka sepatutnya mengikuti Pembelajaran di Rumah (PdPR).
 
Ujarnya, beliau mengadakan kelas tutorial kepada lebih 12 orang kanak-kanak yang berumur antara 5 hingga 11 tahun di situ dengan mewujudkan pilihan kelas sebanyak 3 kali sehari pagi, petang dan malam sepanjang tempoh beliau dikuarantin di situ.
 
“Saya gembira dapat menggunakan peluang yang singkat ini untuk berkongsi ilmu dengan mereka dengan mengajar mereka subjek matematik di samping membimbing mereka melukis dan mewarna.
 
“Keriangan yang terpancar di wajah mereka sewaktu mengikuti kelas tutorial bersama saya telah menjadi sebahagian daripada kegembiraan dan catatan pengalaman indah buat diri saya juga,” ujar Dr Zuraida yang merupakan pensyarah dari Jabatan Pengkomputeran Pintar & Analitik, Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK), UTeM.
 
Berkongsi pengalamannya beliau menambah, anak-anak kecil ini kelihatan begitu bersemangat dan suka belajar walaupun mereka pesakit COVID-19 dan bertambah menyayat hati ada dalam kalangan mereka merupakan anak yatim.
 
“Saya tidak mampu mengubah dunia namun saya cuba berikan yang terbaik kepada mereka selagi berpeluang dan saya yakin bahawa keberadaan kita di mana sahaja pastinya mempunyai hikmah tersendiri,” ujarnya lagi.
 
 
Dr Zuraida turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada petugas-petugas di PKRC MITC yang memberikan sokongan dan membantu menyediakan alatan menulis lengkap memudahkan proses kelas tutorial berjalan dengan lancar di situ.
 
Penghargaan juga turut disampaikan kepada pihak pengurusan dan rakan-rakan FTMK dan UTeM di samping jiran dan keluarga yang banyak membantu menghulurkan bantuan sepanjang beliau menjalani tempoh kuarantin sebelum ini.

Ketua Pegawai Maklumat (CIO), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Mohd Isa Mohd Dom telah dianugerahkan CIO Circle Excellent Award Asia 2021 (platinum) daripada pihak Cisco dan CNBC-TV18 menerusi majlis yang diadakan secara dalam talian baru-baru ini.
 
Cisco merupakan syarikat nombor satu dunia dalam bidang teknologi maklumat dan penyediaan rangkaian global bersama CNBC-TV18 menganugerahkan pengiktirafan berprestij ini kepada UTeM selaku penerima tunggal dalam bidang pendidikan.
 
CIO Circle Excellent Award ini merupakan anugerah yang mengiktiraf CIO organisasi-orgasnisasi dunia yang telah menyumbangkan kejayaan merealisasikan konsep digital transformasi berimpak.
 
Pengukuran pada kali ini berfokuskan kepada organisasi yang berdaya tahan, berkeupayaan tinggi serta mampu meneruskan operasi utama dengan jayanya dalam musim pandemik.
 
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, anugerah berprestij bertaraf global ini sekaligus telah melonjakkan kredibiliti UTeM di persada dunia dan Asia khususnya.
 
Jelasnya, pengiktirafan sebegini jelas mempamerkan UTeM sentiasa merintis dan menerajui cabaran semasa dalam memastikan keseluruhan operasinya termasuklah proses pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian dilaksanakan dengan jayanya walau berdepan dengan kesulitan pandemik yang melanda dunia.
 
Penerima CIO Circle Excellent Award Asia 2021, Mohd Isa berkata, cabaran utama yang dihadapi adalah memastikan penyediaan perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) seluruh organisasi UTeM berjalan dengan sempurna selari dengan norma baharu yang mula dibudayakan seluruh dunia.
 
Jelasnya, kami juga perlu memastikan kesemua pelajar UTeM seramai 13,000 orang dan seribu orang pensyarah mampu melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran dalam talian secara efektif dan efisien.
Ujarnya, ianya bukan sekadar memastikan capaian bagi operasi kelas dalam talian sahaja malah kami turut menyempurnakan 2 agenda utama lagi iaitu tugasan dan peperiksaan dilaksanakan secara dalam talian sepenuhnya.
 
“Sistem peperiksaan penuh dalam talian ini adalah yang terbaharu kami bangunkan dengan menggunakan kepakaran sumber dalaman kami dan bersyukur sistem ini berjaya dilaksanakan dengan sempurna dan berjaya.
 
“UTeM telah berjaya meningkatkan insfrastruktur ICT yang berfokuskan kepada rangkaian berkelajuan tinggi, akses tanpa wayar serta kuasa pengkomputeran tercanggih pada masa kini selari permintaan semasa,” ujarnya lagi.
 
Menyentuh mengenai kejayaan ini, beliau menyatakan ianya adalah milik semua warga UTeM dan khususnya didedikasikan kepada seluruh warga kerja Pusat Perkhidmatan Pengetahuan dan Komunikasi (PPPK), UTeM yang telah bertungkus lumus sepenuhnya dalam menjayakan projek dan operasi berimpak ini.
 
UTeM merupakan satu-satunya pemenang daripada bidang pendidikan dari seluruh Asia Pasifik berjaya mengatasi calon-calon daripada bidang perbankan, tenaga, perkhidmatan dan banyak lagi melibatkan 150 calon terbaik dari negara Asia Pasifik seperti China, India, Korea, Australia dan Singapura serta melibatkan organisasi ternama dunia seperti LG, Tata dan Bank of India.
 
Pengiktirafan dan kejayaan unggul ini hanya 2 wakil dari Malaysia yang telah diiktiraf dan dinobatkan kejayaan iaitu UTeM memenangi tahap platinum manakala Tenaga Nasional Berhad (TNB) pula memenangi tahap perak.
 
Bagi kemenangan unggul CIO Circle Excellent Award Asia 2021 (platinum) ini, Mohd Isa turut menerima piala dan sijil penghargaan daripada pihak Cisco dan CNBC-TV18.

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah diberikan mandat oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk melaksanakan program latihan keusahawanan bagi lepasan graduan anak Melaka.
 
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, program ini di bawah dana Penjana KPT-Career Advancement Program@State (KPT-CAP@State) yang dimandatkan kepada UTeM bagi merealisasikan hasrat negara.
 
Jelas beliau, dana program berimpak nasional ini adalah sebanyak RM 1.05 juta ini nanti bakal memberikan manfaat besar kepada kepada golongan sasaran.
 
Katanya, Program ini ditawarkan kepada anak Melaka yang merupakan lepasan graduan diploma atau ijazah dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA), Politeknik dan Kolej Komuniti seluruh Malaysia.
 
Ujarnya, sebanyak 4 program yang akan dilaksanakan iaitu Program Agropreneur Muda, Transformasi Perniagaan Kepada Program e-Dagang, Rahsia Cara Menubuhkan Perniagaan Pengeluaran Percetakan dan Rahsia Cara Perniagaan Dalam Talian dan Pemasaran Seperti Pro.
 
“Program ini akan dijalankan dengan kerjasama bersepadu bersama Institut Tun Perak,” ujarnya lagi dalam kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.
 
Pengarah Pusat Pengurusan Alumni dan Kebolehpasaran Graduan UTeM merangkap Pengarah Program, Dr Khairuddin Osman berkata, pelaksanaan program ini dijangka akan dijalankan pada bulan Ogos nanti setelah sempurna perolehan berkaitan.
 
Katanya, setiap program akan dijalankan selama 14 hari dan pelaksanaannya akan berlangsung di sekitar negeri Melaka.
 
Mengulas lanjut beliau berkata, 200 peserta kursus latihan menjadi usahawan ini bakal menerima Sijil Kompetensi Profesional, bimbingan mendaftar syarikat di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan tawan Skim Pinjaman Mikro Kredit kepada yang berminat serta layak.

Page 1 of 102


Universiti Teknikal Malaysia Melaka
Hang Tuah Jaya, 76100 Durian Tunggal,
Melaka, Malaysia.
Tel : +606 270 1000
Fax : +606 270 1022
Email : webmaster@utem.edu.my

Newsletter

Subscribe to UTeM newsletter. Don’t miss any news or stories.

We do not spam!