i@UTeM
UTeM Mail
Friday, 06 August 2021

UTeM Lahirkan Lebih Ramai Mahasiswa Pakar Teknikal Huffaz Al Quran

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus komited melahirkan lebih ramai mahasiswa yang terdiri daripada golongan Huffaz hafazan 30 juzuk Al Quran.
 
Kejayaan ini terukir apabila kumpulan kedua seramai 11 orang mahasiswa UTeM telah berjaya memperolehi Sijil Khatam Hafazan Al Quran secara rasmi baru-baru ini.
 
Naib Canselor UTeM, Profesor Dr Raha Abdul Rahim mengucapkan kesyukuran dan merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat di atas pencapaian ini.
 
Menurut Dr Raha, kejayaan UTeM menghasilkan kumpulan Huffaz kedua yang mendaftar program ini pada semester 1 sesi 2017/2018 yang lalu dan mengikuti program ini selama 6 semester.
 
Jelas beliau, secara dasarnya program Pengajian Tahfiz Al Quran di universiti ini yang telah dijalankan bermula pada tahun 2016/2017 lalu menerusi kerjasama dengan Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
 
“Pencapaian ini sekaligus menzahirkan UTeM terus komited menjana mahasiswa dan graduan yang bukan hanya memiliki kepakaran dalam bidang teknikal malah mempunyai nilai pakej istimewa iaitu Huffaz Al Quran.
 
“Mereka adalah dari latar belakang pengajian bidang kejuruteraan, teknologi kejuruteraan, pengurusan teknologi serta teknologi maklumat dan komunikasi,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.
 
Sementara itu, Pengarah Program, Dr Radzuan Nordin berkata, para pelajar yang mengikuti program ini dibimbing untuk menghafal Al-Quran dengan sistem yang disusun oleh JAKIM yang mana mereka dianugerahkan Sijil Tahfiz Darul Al Quran di samping penganugerahan Ijazah Sarjana Muda program yang mereka ikuti di sini.
 
Katanya, kumpulan kedua ini seramai 11 orang telah berjaya menghafaz Al Quran dengan jayanya yang mana terdiri daripada 8 orang pelajar lelaki dan 3 orang pelajar wanita.
 
Mereka ialah Ahmad Shafiq Haikal Abbilah, Muhamad Nur Aiman Azman, Muhammad Najhi Mohd Fauzi, Muhammad Afzal Akmal Azhan, Muhammad Amiruddin Mustafa, Muhammad Ammar Haziq Abu Samah, Muhammad Hafizuddin Mansor, Muhammad Yasir Syahir Yahaya, Fatimatuzzahrah Mohamed Arif, Nur Ainun Amirah Mohamad Azhar dan Wafa' Idris
 
Program ini dahulunya dikendalikan Pusat Bahasa dan Pembangunan Insan (PBPI) dan kini di bawah Institut Pengurusan Teknologi dan Keusahawanan (IPTK) di bawah pemantauan Darul Quran, JAKIM.

Universiti Teknikal Malaysia Melaka
Hang Tuah Jaya, 76100 Durian Tunggal,
Melaka, Malaysia.
Tel : +606 270 1000
Fax : +606 270 1022
Email : webmaster@utem.edu.my

Newsletter

Subscribe to UTeM newsletter. Don’t miss any news or stories.

We do not spam!