i@UTeM
UTeM Mail
Tuesday, 21 September 2021

Semangat dan Jiwa Pendidik : Pensyarah UTeM Kongsi Ilmu Bersama Kanak-Kanak di PKRC MITC

Beriltizamkan dengan semangat dan jiwa seorang pendidik maka tidak menjadi halangan kepada seorang pensyarah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berkongsi ilmu bersama kanak-kanak di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC), Pusat Dagangan Antarabangsa (MITC), Ayer Keroh Melaka, baru-baru ini.
 
Beliau yang juga merupakan salah seorang yang telah dikesan positif COVID 19 lalu telah ditempatkan di PKRC, MITC Ayer Keroh dari 8 hingga 12 Julai lalu bagi mendapatkan rawatan susulan di situ.
 
Prof Madya Ts Dr Zuraida Abal Abas berkata, walaupun berada dalam tempoh rawatan di situ namun beliau menggunakan ruang dan peluang yang ada dengan berkongsi ilmu bersama dengan pesakit dalam kalangan kanak-kanak yang turut di kuarantin di situ.
 
Jelasnya, usaha ini adalah sebahagian daripada inisiatif beliau untuk memastikan kumpulan kanak-kanak tersebut tidak ketinggalan pelajaran yang mana mereka sepatutnya mengikuti Pembelajaran di Rumah (PdPR).
 
Ujarnya, beliau mengadakan kelas tutorial kepada lebih 12 orang kanak-kanak yang berumur antara 5 hingga 11 tahun di situ dengan mewujudkan pilihan kelas sebanyak 3 kali sehari pagi, petang dan malam sepanjang tempoh beliau dikuarantin di situ.
 
“Saya gembira dapat menggunakan peluang yang singkat ini untuk berkongsi ilmu dengan mereka dengan mengajar mereka subjek matematik di samping membimbing mereka melukis dan mewarna.
 
“Keriangan yang terpancar di wajah mereka sewaktu mengikuti kelas tutorial bersama saya telah menjadi sebahagian daripada kegembiraan dan catatan pengalaman indah buat diri saya juga,” ujar Dr Zuraida yang merupakan pensyarah dari Jabatan Pengkomputeran Pintar & Analitik, Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK), UTeM.
 
Berkongsi pengalamannya beliau menambah, anak-anak kecil ini kelihatan begitu bersemangat dan suka belajar walaupun mereka pesakit COVID-19 dan bertambah menyayat hati ada dalam kalangan mereka merupakan anak yatim.
 
“Saya tidak mampu mengubah dunia namun saya cuba berikan yang terbaik kepada mereka selagi berpeluang dan saya yakin bahawa keberadaan kita di mana sahaja pastinya mempunyai hikmah tersendiri,” ujarnya lagi.
 
 
Dr Zuraida turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada petugas-petugas di PKRC MITC yang memberikan sokongan dan membantu menyediakan alatan menulis lengkap memudahkan proses kelas tutorial berjalan dengan lancar di situ.
 
Penghargaan juga turut disampaikan kepada pihak pengurusan dan rakan-rakan FTMK dan UTeM di samping jiran dan keluarga yang banyak membantu menghulurkan bantuan sepanjang beliau menjalani tempoh kuarantin sebelum ini.

Universiti Teknikal Malaysia Melaka
Hang Tuah Jaya, 76100 Durian Tunggal,
Melaka, Malaysia.
Tel : +606 270 1000
Fax : +606 270 1022
Email : webmaster@utem.edu.my

Newsletter

Subscribe to UTeM newsletter. Don’t miss any news or stories.

We do not spam!