i@UTeM
UTeM Mail
Tuesday, 21 September 2021

UTeM Terima 482 Pelajar Baharu Peringkat Diploma

Universiti Teknikal malaysia Melaka (UTeM) telah mencatatkan pendaftaran seramai 482 orang pelajar baharu bagi mengikuti pengajian peringkat diploma pengambilan sesi 2021/2022 semalam secara dalam talian.
 
Berikutan musim pandemik ini maka proses pendaftaran masuk pelajar baharu ini dilaksanakan menerusi sistem dengan mengaktifkan pelajar secara dalam talian bermula 2 Ogos semalam.
 
Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UTeM, Profesor Dr Zulkifilie Ibrahim berkata, UTeM terus menjadi pilihan bagi para pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi menyambung pengajian di peringkat diploma dalam jurusan kejuruteraan dan teknologi maklumat.
 
Jelas beliau, seramai 482 orang pelajar ini mendaftar bagi 5 kursus yang ditawarkan UTeM iaitu Diploma Kejuruteraan Elektrik, Diploma Kejuruteraan Elektronik, Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Diploma Kejuruteraan Pembuatan dan Diploma Teknologi Maklumat.
 
“Bidang diploma kejuruteraan dan teknologi maklumat terus diminati ramai lepasan SPM kerana pengajian kejuruteraan ini terus relevan dan berkebolehpasaran tinggi selepas bergraduat dan turut mudah untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana muda kelak,” ujar beliau lagi.
 
Mengulas lanjut beliau menyatakan pelajar baharu ini mengikuti sesi perkuliahan Semester Khas Sesi 2021/2022 bermula 3 Ogos secara dalam talian dengan mengambil kursus wajib universiti yang dikendalikan oleh Pusat Pembelajaran Bahasa (PPB) dan Institut Pengurusan Teknologi dan Keusahawanan (IPTK) UTeM.
 
Timbalan Pendaftar Kanan Bahagian Pengurusan Akademik (BPA), Pejabat Pendaftar, UTeM Misdom Lan berkata, kursus-kursus yang ditawarkan di UTeM terus mendapat sambutan baik dan menunjukkan tren UTeM terus menjadi pilihan lepasan SPM menyambung pengajian di peringkat diploma pada setiap tahun.
 
Katanya, kursus Diploma Teknologi Maklumat, Diploma Kejuruteraan Pembuatan dan Diploma kejuruteraan Mekanikal terus mendapat permohonan paling pantas seawal
permohonan dibuka di samping permohonan bagi Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Diploma Kejuruteraan Elektronik turut memberangsangkan.
 
Berhubung keputusan rayuan kemasukan pula, Misdom menyatakan merujuk kepada maklumat yang beliau terima hebahan keputusan rayuan dijangka akan dikeluarkan oleh Unit Pusat Universiti (UPU) pada pertengahan Ogos nanti (tertakhluk kepada maklumat semasa).

Universiti Teknikal Malaysia Melaka
Hang Tuah Jaya, 76100 Durian Tunggal,
Melaka, Malaysia.
Tel : +606 270 1000
Fax : +606 270 1022
Email : webmaster@utem.edu.my

Newsletter

Subscribe to UTeM newsletter. Don’t miss any news or stories.

We do not spam!